MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan kemungkinan PAS akan menyertai UMNO dalam percaturan politik tiada dalam perbincangan atau pertimbangan Barisan Nasional (BN) buat masa ini.

Menurut beliau, adalah tidak rasional untuk memberikan sebarang pendapat atau komen mengenai konflik politik yang berlaku di barisan pembangkang dan langkah terbaik adalah memperkemaskan jentera BN bagi persiapan pilihan raya.

“Saya tidak ingin ditarik ke dalam hal ini, bahawa mereka (PAS) akan menyertai kita kelak atau kita pergi kepada mereka, atau sebarang perselisihan politik di antara PAS dan UMNO.

“Adalah tidak matang di tahap ini untuk membincangkan atau memberi komen mengenai perkara ini dan saya lebih selesa untuk melakukan yang terbaik bagi mengukuhkan persediaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bagi Pembinaan Sekolah Agama Rakyat dari Majlis Agama Islam Perak dan Kerajaan Negeri Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah MPM di Tapak Pembinaan SRAR, Taman Manjung Baru pada petang Ahad.

ADUN Pangkor itu menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memaksa atau terlibat dengan mana-mana pihak berkenaan perbalahan politik pihak pembangkang itu.

Katanya lagi, adalah lebih baik agar masalah dalaman di antara kedua-dua parti itu dikendalikan sendiri agar tiada pihak yang akan memanipulasikan keputusan itu terhadap Barisan Nasional.

“Kita tidak ingin menimbulkan sebarang persepsi bahawa perceraian itu mempunyai sebarang kaitan dengan Barisan Nasional.

“Yang paling penting, BN Perak akan terus mempersiapkan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi dengan sebaiknya,” katanya lagi.