IPOH – UMNO dan Pas Perak bersedia dengan sebarang kemungkinan jika pergolakan dalam PH Perak semakin parah.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kedua-dua parti itu tidak akan memujuk atau menawarkan apa-apa imbuhan kepada wakil-wakil rakyat PH yang kecewa untuk keluar daripada pakatan itu.

Katanya, namun jika berlaku seperti tahun 2009 ada wakil rakyat yang melompat dan menyokong gabungan BN dan Pas membentuk kerajaan, mereka akan mempertimbangkannya.

“UMNO dan Pas lebih bersedia untuk lebih kuat menang PRU15. Kita tak buat huru-hara curi orang, pujuk pergi janji orang bentuk kerajaan. Tetapi jika satu waktu mereka berkecamuk bersama-sama mereka atas sebab-sebab yang mereka lakukan ini, tidak ada pilihan kalau tiba-tiba 25 UMNO, tiga Pas tiba-tiba ada dua orang lompat nak sertai BN.

“Sebagai ahli politik, tak bijaklah kalau tak ambil kesempatan itu. Jadi kalau ada dua atau lebih datang kepada kami itu sebagai rezeki terpijak kepada kami.

“Tapi kami fikir tak mungkin mereka akan melompat kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Saarani beranggapan jika berlaku undi tak percaya kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dua ADUN BN yang menyokong PH berkemungkinan akan menjadi wakil rakyat bebas.

Katanya, sekurang-kurangnya dua wakil rakyat iaitu ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pasti tidak mahu perkara itu berlaku kerana sokongan mereka pada peringkat awal hanyalah menyokong Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, keadaan itu akan mewujudkan dua situasi sama ada mereka bergabung dengan UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan atau kerajaan akan tergantung sekaligus memberi ruang kepada pembubaran DUN Perak dan seterusnya Pilihanraya Negeri (PRN).

“Kalau sekiranya DUN Perak dibubarkan, UMNO dan Pas akan bekerjasama dan kita yakin kita akan menang. Kalau tak percaya cubalah!,” kata Saarani – sinar harian