IPOH: UMNO dan PAS tidak pernah berusaha untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, termasuk kemungkinan mengadakan undi tidak percaya menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan depan.

Sebaliknya, jika berlaku, ia digerakkan sendiri di kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa terdapat seorang anggota Exco kerajaan negeri yang terus berusaha dan melobi untuk menjadi Menteri Besar baru.

Menurutnya, anggota Exco itu cuba memujuk beberapa ADUN dari UMNO di samping terus memujuk enam ADUN UMNO yang pernah dipujuknya sebelum ini.

“Keadaan tidak stabil sekarang adalah daripada exco kerajaan negeri berkenaan yang masih terus melobi untuk menjadi Menteri Besar dan berurusan dengan Adun-Adun UMNO, saya tahu.

“Berurusan dengan Adun UMNO, memujuk, mempelawa macam-macam lah. Konon katanya sekarang telah mendapat restu daripada pusat, daripada Tun Dr Mahathir (Mohamd) dan Tun Daim (Zainudin),” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Perak di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Ahmad Faizal meminta semua pihak menghentikan segala spekulasi pertukaran kerajaan dan Menteri Besar yang semakin tular sejak kebelakangan ini.

Saarani berharap Ahmad Faizal tidak menuding jari kepadanya, sebaliknya membetulkan terlebih dahulu apa yang perlu.

“Sebagai Pengerusi Perhubungan Pakatan Harapan Negeri, saya nasihatkan kepada Menteri Besar, betulkan diri sendiri, betulkan kawan-kawan you dan cuba check betul tak apa saya cakap ada seorang daripada exco kerajaan negeri sedang berusaha keras untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar.

“Jangan tuduh kami lah, kami orang baik, kami tak curi Adun orang lain,” ujarnya.

Menurutnya, cerita mengenai peralihan kerajaan bukan datang daripada UMNO atau PAS kerana mereka tidak akan membuat kerja itu.

“Kami nak berkhidmat kepada rakyat, kami nak jadi pembangkang yang baik, kami sedang memerhati, kami sedang membuat kajian dan banyak kepincangan yang sedang berlaku ini dalam pengetahuan kami, tunggu 16 April, 17 April dan seterusnya untuk sidang Dewan, kita akan dedahkan pada waktu itu.

“So waktu itu kerajaan sila jawap dengan lidah yang fasih, Menteri Besar, sila jawap dengan lidah yang fasih, jangan tuding jari pada BN, yang cerita nak bertukar kerajaan, itu not from BN, itu from their side,” tegasnya.