KAMPUNG GAJAH: Di sebalik cadangan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali menyertai UMNO, UMNO Perak pula mencadangkan agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibubarkan dan keseluruhan ahlinya menyertai semula UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu memandang ia pernah berlaku selepas Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Menurutnya, ketika itu pemimpin Parti Semangat 46 seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Rais Yatim menyertai UMNO sebagai ahli biasa sebelum menang sebagai ketua bahagian.

“Jika orang Bersatu berjiwa besar, dia pun ada masalah, parti kecil, bubar Bersatu, semua ahli Bersatu marilah masuk UMNO. Tapi tak boleh pegang jawatan lagilah, kena tunggulah. Masuk-masuk nak jadi ketua bahagian mengamuk ketua bahagian UMNO yang sedia ada.

“Tahun depan ada pemilihan UMNO bertandinglah. Kalau menang, menanglah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja dan Anugerah Penghargaan Media Program STAR/IGROW di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah, di sini hari ini.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Muhyiddin perlu kembali menyertai UMNO dan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu.

Menurut Nazri, semua ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dan menerima Muhyiddin kembali menyertai parti itu.

Beliau turut mencadangkan sekiranya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan presiden parti juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Saarani berkata, cadangan sesetengah pihak supaya UMNO dan Bersatu bergabung adalah sukar untuk dilaksanakan kerana sebagai parti dengan keahlian ebih 3 juta di seluruh negara, sukar untuk majoriti ahli menerima cadangan itu.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan beberapa cadangan pernah disuarakan oleh pelbagai pihak untuk memastikan UMNO, Pas dan Bersatu tidak bertembung pada Pilihan Raya Umum ke- PRU15 kerana ia akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.