KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mencadangkan supaya UMNO mewujudkan Badan Pemantauan Penyertaan Syarikat Bumiputera dalam kontrak dan konsesi besar kerajaan.

Wakilnya, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, badan itu perlu diwujudkan kerana sering terjadi di peringkat pelaksanaan, pematuhan kepada dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dikendalikan oleh mereka yang tidak mempunyai roh atau semangat Bumiputera.

Dalam bahasa mudah, katanya, roh UMNO yang menjelmakan dasar ini melalui kerajaan tidak difahami, malah sering kali kedengaran suara-suara yang menyatakan “kami bukan orang politik” apabila menyentuh tentang penyertaan Bumiputera.

“Peringkat pelaksanaan ini bukan sahaja melibatkan GLC tetapi juga syarikat Bumiputera yang memperolehi kerja-kerja atau kontrak.

“Mereka mestilah memastikan kontrak yang diperolehi turut dinikmati oleh syarikat-syarikat Bumiputera lainnya dalam kerja-kerja kecil yang lain dan bukannya seperti yang sering berlaku, kontrak yang diperolehi akhirnya jatuh ke tangan orang lain hanya untuk mengaut keuntungan cepat,” katanya ketika membentangkan Usul Ekonomi pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC di sini pada Jumaat.

Ahmad Shalimin yang juga Ketua UMNO Bahagian Taiping berkata, saban tahun, di dalam PAU, sentiasa terdengar desakan perlunya usaha berterusan dilaksana bagi memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera dan ia terus diketengahkan kali ini.

Bagaimanapun, kata beliau, ia bukan bermakna agenda ekonomi Bumiputera gagal atau diabaikan, sebaliknya ia terus dikumandangkan sebagai tanda kesungguhhan dan iltizam, yang tidak pernah padam dalam perjuangan UMNO untuk mewujudkan keseimbangan dalam penguasaan ekonomi di negara ini.

Menurutnya, agenda Bumiputera adalah satu perjalanan yang dilakar melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, diikuti dengan Transformasi Ekonomi Bumiputera pada 2011 dan kini dimantapakan dengan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

“Maksudnya, kerajaan dengan pelbagai inisiatif terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan Bumiputera dalam konteks penyertaan dalam kegiatan ekonomi negara dengan menikmati agihan kekayaan yang saksama,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan menyediakan laluan, bermula di peringkat mikro kepada industri kecil dan sederhana dan kini melalui program Skim Jejak Bumiputera yang diperkenalkan, syarikat Bumiputera, mampu bersaing dan standing dengan syarikat lain di Bursa Malaysia yang mempunyai nilai pasaran melebihi 7 billion.

“Ini kisah kejayaan hari ini. Jika dahulu melalui penubuhan agensi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Felda, Felcra, Risda, Mara, Institut Teknologi MARA dan beberapa agensi lain, pegangan dan kedudukan Bumiputera berjaya ditingkatkan.

Katanya, fasa itu terus berkembang melalui pendekatan yang sesuai dengan perkembangan ekonomi dan cabaran-cabarannya.

Menurut beliau, kewujudan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan usaha untuk membantu kerajaan terus melonjakkan kapasiti Bumiputera, khususnya peluang untuk sama-sama terlibat dengan peluang ekonomi berskala besar.

“Alhamdulillah dan terima kasih Datuk Seri Presiden, kerana kini kebanyakkan projek besar dan mega dilaksanakan melalui GLC-GLC dan bukannya lagi melalui individu seperti amalan orang itu dahulu,” kata beliau.

Tambah Ahmad Shalimin, sementara kita mengakui banyak pencapaian dan kejayaan telah dilakarkan, hasil dasar dan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan, masih ada ruang yang perlu diberikan perhatian khususnya di peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, UMNO mahukan organisasi dan syarikat besar termasuk GLIC dan GLC yang memperolehi kontrak serta konsesi kerajaan melaksanakan dasar mesra kepada syarikat Bumiputera berstatus mikro dan kecil, bukanlah pernyataan meminta-minta, jauh sekali mengemis ehsan syarikat-syarikat ini.

“Tetapi ini adalah soal pematuhan kepada dasar kerajaan yang menetapkan agar penyertaan syarikat Bumiputera menjadi salah satu komponen pelaksanaan sesuatu kontrak atau konsesi,” katanya.

Beliau berpendapat, peneraju-peneraju CLG perlu menerima hakikat bahawa melalui dasar yang diperjuangkan UMNO inilah, dirangka oleh parti keramat ini, telah meletakkan mereka sebagai ketua eksekutif GLC dan atas dasar Melayu / Bumiputera lah mereka berada di situ.

“Jadi janganlah berlindung di sebalik ayat kami bukan orang politik apabila kita menuntut supaya dasar pemerkasaan Bumiputera melalui kontrak atau konsesi yang diberikan kepada mereka dilaksanakan.

“Barang harus diingat, dasar ini bukan politik, dasar ini bukan menguntungkan UMNO semata-mata, dasar ini bukan bermakna UMNO ingin menguasai segala-galanya, tetapi dasar ini adalah usaha UMNO untuk menjamin keseimbangan penguasaan ekonomi negara, agar tidak wujud kesenjangan, agar tidak tercetus keresahan yang pada akhirnya meruntuhkan keharmonian dan kestabilan negara,” kata Ahmad Shalimin.