IPOH: UMNO Perak telah mengemukakan senarai enam nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dicalonkan sebagai Exco kerajaan negeri kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, bilangan itu adalah berdasarkan persetujuan yang dibuat sebelum ini antara ketiga-tiga parti di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, bilangan Exco kerajaan negeri dijangka kekal 10 orang dengan enam daripada UMNO dan masing-masing dua orang daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Seperti yang dipersetujui, kita telah menghantar senarai enam nama kepada Menteri Besar Perak untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Bagaimanapun, saya tak boleh umum atau dedahkan nama siapa yang disenaraikan. Tunggu pengumuman daripada pihak Istana,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Faizal ketika ditemui selepas dilantik semula sebagai Menteri Besar pada 13 Mac lalu menjelaskan, lantikan Exco akan dibuat segera dalam tempoh seminggu selepas beliau mengangkat sumpah.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Exco yang dilantik akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri bersih.