LUMUT: UMNO Perak dilihat telah bersedia dan dalam keadaan mantap untuk menuju ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, gerak kerja diamalkan UMNO Perak yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah memenuhi segala kriteria yang diperlukan bagi memastikan sesebuah negeri itu dapat membangun secara holistik dari segi politik mahu pun ekonomi.

“Saya perhatikan Perak keseluruhannya amat mantap sekali dan mereka telah bersiap sedia menghadapai PRU-14.

“Melalui kepimpinan Dr Zambry, bukan sahaja (beliau) berjaya menyatukan ahli parti tetapi dalam masa yang sama beliau juga terus memajukan Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Beliau yang juga Bendahari Umno menambah, kecemerlangan UMNO Perak itu merupakan hasil daripada kejayaan kepimpinan parti negeri ini dalam aspek pengurusan persepsi yang disifatkanya sebagai “game changer”.

“Saya lihat yang amat penting ketika ini ialah pengurusan persepsi di mana jika kita berjaya menguruskannya dengan baik sambil turun padang, maka tiada masalah untuk kita menuju PRU-14 nanti.

“Di Perak ini, pemimpin parti atau negeri bukan sahaja turun padang tetapi mereka turut menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di padang itu, bagi saya ini yang rakyat mahukan ketika ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat berkenaan, Salleh juga telah mengaris lapan kriteria utama yang perlu ditangani UMNO bagi memastikan parti itu dalam kedudukan kuat menuju PRU-14.

Lapan kriteria berkenaan ialah menguruskan isu-isu, imej, perpaduan, jentera parti, kepimpinan, media, dana, manifesto dan calon.

“Lapan kriteria ini yang akan menentukan parti mana boleh menang dalam setiap PRU, sekiranya kita berjaya uruskan semua perkara ini sudah tentu kita kana berada dalam keadaan kuat,” ujar beliau.