GOPENG: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menolak sekeras-kerasnya penglibatan parti itu dalam merancang dan menghantar ahlinya menyertai mana-mana perhimpunan kumpulan Baju Merah.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tiada sebarang perancangan atau persetujuan pernah dibuat untuk menghantar wakil UMNO terlibat dengan aktiviti Baju Merah.

“Di peringkat negeri Perak, kita tidak pernah merancang atau mengumpulkan sesiapa bagi tujuan tersebut,”katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Jelajah Penerangan Pimpinan Bersama Akar Umbi Negeri Perak yang dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Besar Perak ditanya berhubung satu teks mesej yang viral di laman sosial dan aplikasi Whatsapp mengenai senarai ahli UMNO yang akan dihantar menyertai perhimpunan Baju Merah pada Sabtu.

Arahan menghantar wakil itu kononnya ditandatangani Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Perak merangkap Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie .