IPOH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menerima keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas bermula hari ini.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan Zahid itu selaras dengan mandat yang diberi oleh perwakilan UMNO di peringkat akar umbi kepada beliau sebagai presiden parti.

Sehubungan itu, katanya, semua ahli parti, terutamanya pimpinan di semua peringkat hendaklah menghormati dan memberi sokongan kepada beliau.

“UMNO Perak juga penuh yakin keputusan Ahmad Zahid ini akan membawa kekuatan baru kepada parti, terutama di saat UMNO dan PAS sedang rancak menjayakan agenda penyatuan ummah yang beliau sendiri adalah antara yang pertama merintis jalan ke arah kerjasama dua parti terbesar Melayu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad, Zahid mengumumkan beliau kembali menggalas jawatan Presiden UMNO dan menamatkan cuti berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mengumumkan perkara tersebut pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk.

Saarani berkata, UMNO Perak yakin, dengan sokongan dan kerjasama kalangan pemimpin di semua peringkat dan ahli parti, UMNO akan kembali menjadi parti yg kuat dan berpengaruh bagi meraih sokongan pengundi pada PRU15.

Oleh itu, katanya, UMNO Perak akan terus bekerja keras bersama-sama Zahid serta pucuk pimpinan dalam usaha menguatkan parti dan menawan negeri Perak daripada Pakatan Harapan.