KUALA LUMPUR: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyokong kelulusan usul agar jawatan presiden, timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, usul tersebut adalah untuk mengelakkan terjadinya perpecahan dikalangan ahli UMNO lebih-lebih lagi dalam persiapan menjelang PRU14.

“Usul tersebut juga akan memberikan ruang kepada parti untuk fokus menghadapi PRU-14.

“Ia langkah terbaik bagi kita untuk memastikan UMNO betul-betul kuat jadi ia wajar disambut baik oleh semua ahli dalam masa sama beri perhatian kepada agenda lebih besar iaitu pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke laman media sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di sini pada Jumaat.

Perhimpunan Agung UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul dikemukakan sayap Pemudanya supaya dua jawatan tertinggi dalam parti itu menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.