Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU GAJAH: Akar umbi UMNO mungkin tidak menghalang sekiranya bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman ingin membuat pusingan U ke dalam parti UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim bagaimanapun tidak menafikan bahawa kepercayaan akar umbi kepada bekas Ketua Wanita Bahagian Gopeng itu sudah lama hilang.

Katanya, tindakan Hamidah yang sebelum ini mengikut perasaan dan terikut-ikut dengan pembentukan parti baru, telah mematahkan sokongan ahli UMNO yang setia kepada parti, bukannya individu semata-mata.

“Kalau dia nak masuk semula ke UMNO, silakan, tiada orang halang pun tapi saya berani cakap ahli UMNO Gopeng mungkin tidak akan memberinya kepercayaan lagi untuk memimpin parti yang ditinggalkannya.

“Inilah pengajaran kepada mereka yang membuat keputusan untuk kepentingan sendiri, masuk parti sana sini, dah putus asa baru nak keluar, contoh ini tidak baik dalam etika berpolitik,” katanya kepada Suara Perak.

Yusoff yang menyertai UMNO sejak tahun 1960 berkata, sebagai seorang veteran politik, beliau menasihatkan generasi muda agar tidak terpedaya dengan ideologi parti-parti baru yang ditubuhkan daripada serpihan UMNO.

Menurutnya, Hamidah merupakan bekas anak didiknya, namun tindakannya keluar masuk parti dan mempengaruhi pemikiran ahli UMNO lain merupakan perjuangan yang tidak berpaksi, malah tidak wajar disokong.

“Kadang-kadang kita tidak sedar diri, bila kita masuk ke dalam parti untuk jawatan semata-mata, kita akan jadi lalai, sedangkan perjuangan itu sepatutnya untuk parti tapi Hamidah mungkin dah kecewa dan putus asa, senang cerita dia letaklah jawatan.

“Lain kali, fikir dahulu keputusan itu kerana UMNO sedikit pun tidak terjejas dengan perletakan jawatannya dahulu, jika kini Hamidah ingin kembali silakan, tapi mungkin bertanding mana-mana akan kalah,” katanya lagi.

Hamidah membuat pengumuman tersebut melalui akaun Facebook miliknya malam semalam dengan menunjukkan surat perletakan jawatan yang ditujukan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.