KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan pandangan tentang pelantikan Jemaah Menteri baru-baru ini yang disifatkan sebagai telah mengetepikan UMNO dengan cara yang sangat tidak adil.

Beliau membuat rumusan itu bersandarkan kepada dua perkara iaitu pertama, pemberian portfolio kementerian yang tidak kritikal sekaligus tidak setimpal dengan jumah Ahli Parlimen yang disumbangkan oleh UMNO serta tahap pengalaman mereka

Kedua, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu, keanggotaan Kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali.

“Terdapat pelbagai desas desus berhubung pelantikan Kabinet yang baharu bermula, dari ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kepada dakwaan bahawa komposisi Kabinet adalah berat sebelah.

“Biar apa pun keadaannya, yang perlu difahami adalah betapa pelantikan anggota kabinet adalah budi bicara Perdana Menteri sepenuhnya.

“Namun begitu, adalah jelas bahawa UMNO selaku blok Ahli Parlimen terbesar telah diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil yang boleh dilihat daripada 2 perkara,” kata dalam kenyataan di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekalipun ia bukanlah kepentingan paling afdal untuk UMNO memegang kedudukan erajaan dalam iklim politik semasa, adalah mustahak untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni saiz perwakilan parti dalam kerajaan atas dua dasar.

Pertama, kerana ini adalah sistem Westminster. Kabinet mengamalkan Tanggungjawab Kolektif, yang hanya akan berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah yang sewajarnya.

Perkara ini, katanya, sangat kritikal kerana hanya dengan mempunyai Kabinet yang bersatu hati, Kerajaan boleh bergerak secara bersama dengan para pendukungnya.

“Hanya dengan yang demikian, Kerajaan boleh memfokuskan kepada urusan tadbir urus dan pemerintahan,” katanya.

Dasar kedua pula, menurut beliau, amalan selama ini perwakilan setara dengan saiz yang diwakili dan ia merupakan sistem yang berjaya.

Malah, katanya, Pakatan Harapan sendiri mengamalkan pendekatan yang sama semasa menjadi Kerajaan.

“Maka, adalah lebih penting dalam keadaan semasa yang menyaksikan kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar.

“Dengan cabaran Pandemik Covid-19, kejatuhan pasaran saham dan ketidaktentuan ekonomi, kita tidak mempunyai ruang dan masa untuk berlengah dan melakukan kesilapan.” katanya.

Mohamad berkata, Kabinet adalah institusi yang memandu dan mengukuhkan bangsa, saat ia berhadapan dengan waktu yang sukar.

Sebuah Kabinet yang kuat, terbukti dan inklusif adalah kritikal bagi memastikan kejayaan Perikatan Nasional.

“Sekiranya pengalaman politik ini diketepikan, ia akan memberi kerapuhan yang boleh membawa kepada kegagalan.

“Tanpa sebuah Kabinet yang kuat, Malaysia akan terus menerus menyaksikan polemik politik yang tidak berkesudahan sekali gus tidak memungkinkan kita untuk memberi perhatian kepada pembangunan dan daya saing bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette