KAMUNTING – Wakil Rakyat UMNO Datuk Zahir Abdul Khalid hari ini menyelar sikap akhbar berbahasa Cina yang terang-terang menyiarkan laporan palsu dengan memanipulasi fakta bahawa UMNO cuba menghalang kebebasan bersuara melibatkan pemimpin Pakatan Harapan.

Mohamad Zahir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting menegaskan UMNO tidak terlibat dengan bantahan yang dibuat penduduk berkaitan majlis tersebut.

5f11a729-4934-4e1c-8a34-1f2085f34790

“Kami menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan kononnya pihak tertentu cuba menghalang kebebasan bersuara di pentas ceramah pemimpin Harapan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas Pusat Khidmat ADUN Kamunting, di sini hari ini.

Mohammad Zahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, menjelaskan tindakan parti pembangkang yang meletakkan treler secara melintang kelmarin telah menghalang laluan lebih seribu penduduk Kampung Bukit Jana.

“Nak berkempen tiada masalah tapi ikutlah peraturan, jangan pula berbohong dengan memanipulasi kenyataan dalam surat khabar.

“Mereka letakkan treler yang menghalang jalan utama penduduk sehingga ganggu orang yang hendak ke surau dan pulang ke rumah masing-masing.

“Saya tunjuk bukti treler yang dijadikan pentas utama pada malam Sabtu lalu, malah terdapat beberapa laporan polis juga dibuat oleh penduduk “katanya.

Dalam pada itu, program yang dikenali sebagai Ceramah Jelajah Pakatan Harapan #Kamunting3.3 itu tidak mendapat sebarang permit ataupun kebenaran daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ton Zalani Mat Darus menggesa pakatan pembangkang tampil memohon maaf kepada penduduk Bukit Jana atas tindakan menghalang laluan utama semasa ceramah diadakan.

“Apa yang boleh saya katakan, bagi pendapat saya takkanlah seorang negarawan seperti Tun Mahathir duduk di tepi jalan.

“Ini menunjukkan seorang negarawan jadi tak ketahuan… baik duduk diam-diam,”kata Ton Zalani.

Terdahulu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata pihaknya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba menghalang kebebasan bersuara di negara ini.

Insiden yang berlaku ketika Jelajah Pakatan Harapan di Kampung Bukit Jana itu memaksa pemimpin mereka berucap di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas tidak diberikan kebenaran oleh pihak polis untuk berucap di atas pentas.