IPOH– Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan bahawa parti itu masih tidak mempunyai matlamat sendiri dan wajar ditutup setelah berjaya menyingkirkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ujarnya tiada sebab mengapa Bersatu patut ditutup memandangkan parti itu menerima maklum balas yang mengalakkan dari orang ramai, tidak seperti yang berlaku pada parti UMNO sekarang.

“Biasanya kalau cerita pasal close shop (tutup kedai) ini macam perniagaanlah, kalau perniagaan kita tidak didatangi orang ramai, kita tidak diterima, kita patut close shop.

“Tetapi “kedai” saya ini, parti saya ini didatangi oleh ramai orang, jadi perniagaan kami tengah maju, saya sekarang ini Menteri Besar Perak, kami tak patut tutup (parti).

“Tolong beritahu pada sahabat saya, Asyraf Wajdi, saya nak cadangkan UMNO yang patut tutup kedai, Bersatu terima siapa juga tapi akhirnya kita akan tapis mereka yang bersama dengan kemungkaran dan tidak mahu mengaku kesilapan diri..kita tidak boleh terima” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Majlis Perbandaran Taiping dengan Bandaraya Fukuoka,Jepun.

Beliau yang juga selaku Menteri Besar Perak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi semalam, yang mempersoalkan perjuangan Bersatu dan mencadangkan supaya parti itu ditutup.

Selain itu, Asyraf Wajdi turut berkata selain menyingkirkan Najib, matlamat parti itu hanya untuk menumbangkan UMNO sebagai parti keramat Melayu di negara ini.

Beliau mendakwa Bersatu yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad masih belum mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada orang Melayu.