KUALA LUMPUR – Akibat gagal mendapatkan lesen yang sah untuk aktiviti pengendalian umrah dan ziarah, sebuah agensi pelancongan didenda RM15,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Al Safwah Orchid (Asia) Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Datuk Dr Abdul Halim Navaghani, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengendalikan aktiviti umrah dan ziarah tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Syarikat itu menganjurkan pakej umrah dan ziarah, menguruskan dan mengaturkan bilik penginapan hotel di Makkah dan Madinah antara April 2015 hingga Jun 2016.

Syarikat itu yang sebelum ini pernah dikompaun RM2,000 atas kesalahan sama pada tahun 2013 didakwa melakukan kesalahan itu di No 19-1, Jalan Tasik Utama 6, Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, di sini pada 10.50 pagi, 13 Mei 2016.

Bagi kesalahan itu, Abdul Halim selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan jika kesalahan berterusan boleh didenda maksimum RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Natrah Fareha Rahmat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan merupakan kesalahan berulang.

“Sebelum ini syarikat sama telah didakwa namun OKS masih tidak mengambil sebarang tindakan sehingga sekarang dan terus menjalankan pakej umrah tanpa lesen,” katanya.

OKS yang diwakili peguam Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusoff berkata syarikat anak guamnya sedang dalam proses mendapatkan lesen pengendalian umrah dan ziarah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Natrah berkata pihaknya berharap tindakan yang diambil ke atas OKS dapat memberi pengajaran kepada agensi pelancongan lain.

“Kami juga ingin mengingatkan orang ramai supaya memeriksa dahulu sama ada agensi pelancongan yang dipilih berdafar dengan kementerian, sebelum mengambil pakej umrah yang ditawarkan,” katanya.

– Bernama