SHAH ALAM – Undang-undang yang lapuk atau tidak lagi relevan untuk dilaksanakan sememangnya boleh dipinda, namun dengan syarat pemansuhan itu perlu mengikut proses telah ditetapkan.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, proses meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang hanya boleh dilaksanakan oleh pihak atau dewan yang mempunyai bidang kuasa terlibat.

“Sebab itu, wujudnya Pesuruhjaya Semakan Undang-undang, di mana setiap undang-undang itu akan disemak, dianalisis supaya bersesuaian untuk dilaksanakan.

“Kadang-kadang mahkamah juga beri cadangan meminda mana-mana undang-undang yang dahulunya dilaksanakan, namun kurang sesuai atau tidak relevan pada masa kini, tapi dengan syarat sama ada Parlimen atau Dun mempunyai bidang kuasa berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pindaan juga boleh dilakukan ke atas undang-undang yang dibuat tergesa-gesa atau bertentangan peruntukan lebih tinggi.

“Sebagai contoh, kalau ada undang- undang dipinda tanpa mengikut prosedur betul, ia boleh diisytihar tidak sah oleh mahkamah “Itu pun satu cara bagi memastikan undang-undang itu adalah yang betul dan dibuat dengan cara ditetapkan,” katanya.

Pakar undang-undang, Dr Muhammad Fathi Yusof berpendapat, sudah tiba masanya institusi raja-raja diberi peranan wajar untuk terlibat menilai dan kaji pindaan undang-undang.

“Saya ambil contoh, pindaan pada 1983 dan 1993 melibatkan kuasa Yang di- Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu di dalam bidang perundangan.

“Kita tahu asalnya, institusi ini mempunyai kuasa menentukan sama ada mahu perkenan atau tidak ke atas rang undang-undang diluluskan Parlimen.

“Tapi dengan pindaan Perlembagaan 1983 dan pengukuhannya pada 1993, kuasa institusi istana terhakis, bahkan boleh dikatakan dihilangkan walaupun wujud ia tidak memberi kesan,” katanya.

Muhammad Fathi berkata, akibat perubahan itu, tiada institusi yang boleh pantau atau menilai sesuatu perubahan ke atas undang-undang di negara ini.
-SinarHarian