IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan hukuman denda yang dikenakan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai ‘undang-undang tidak mengenal jawatan’.

Ahmad Faizal menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk mematuhi PKP yang telah ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Pandangan saya secara peribadi, ini menunjukkan bahawa undang-undang tidak mengenal jawatan.

“Setiap daripada kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan kerana kita mesti sedar ianya dibuat adalah semata-mata demi kepentingan orang awam, seluruh rakyat menjaga kesihatan agar rantaian wabak Covid-19 diputuskan,”katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak Perak di Gopeng pada Selasa.

Katanya lagi, dia berharap isu ini tidak lagi dipolitikkan memandangkan tindakan undang-undang sudah pun diambil kepada mereka.

Seterusnya menambah perkara tersebut dapat memberi pengajaran kepada rakyat supaya mematuhi PKP secara serius.

“Saya harap Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco kerajaan negeri dapat meneruskan tanggungjawab mereka berkhidmat kepada negara dan negeri mengikut lunas undang-undang sedia ada,”katanya lagi.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak kerana ingkar PKP.

Seramai 13 individu lain yang hadir bersama-sama mereka dalam jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong turut didenda jumlah yang sama.

Kesemua mereka mengaku bersalah apabila tuduhan terhadap mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika mereka gagal membayar denda dan kesemua mereka membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berkumpul di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong kira-kira jam 6 petang 17 April lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 didenda mengikut Peraturan 11(1).

Habis