MANJUNG– Tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengatakan proses pengiraan undian awal telah dilakukan di Parlimen Lumut, disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan tidak timbul isu pengiraan undian awal, sebagaimana yang diperjelaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) semalam.

“Apa yang cuba dimainkan kalangan tertentu ialah dengan mewujudkan persepsi terhadap pengundi kawasan Lumut, mereka menyebarkan berita undi awal (5 Mei) telah dikira.

“Dan keputusannya ialah di sebelah sana (pembangkang) menang, Barisan Nasional kalah, ia menjadi heboh di Parlimen Lumut, ada yang bertanya, saya anggap ini langkah terdesak orang yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di perjumpaan khas jentera PRU Parlimen Lumut di Bilik Gerakan Parlimen, di sini pada Selasa.

Yang turut sama, Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Beliau menjelaskan, proses mengira undi hanya boleh dilakukan pada 9 Mei (esok), ketika hari mengundi.

“Ianya telah dijelaskan oleh Pengerusi SPR semalam, menyebabkan beliau terpaksa membuat pelbagai kenyataan untuk menolak tuduhan yang disebarkan bukan hanya di Lumut tapi seluruh negara.

“Propaganda yang disebarkan ini menyebabkan ada orang percaya, saya anggap ini usaha mereka (pembangkang) untuk mengalih perhatian dan gambaran yang dibuat untuk mewujudkan persepsi mereka telah mencipta kemenangan,” kata Dr. Zambry.

BERITA BERKENAANBN Yakin Mampu Ulangi Kemenangan PRU-13 Buat Parlimen Tapah