KUALA LUMPUR : Pas menyifatkan undi kepada calon MCA dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, sama seperti membeli barangan Melayu-Islam yang dijual oleh jurujual Cina.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya berkata, walaupun ia dijual oleh Cina (MCA), pemiliknya adalah Melayu-Islam (UMNO-BN)

Ia adalah lebih baik daripada membeli produk yang menggunakan nama Melayu-Islam (Bersatu), tetapi pemiliknya adalah orang bukan Islam (DAP).

“Jurujualnya Melayu (PPBM), tetapi taukenya Cina (DAP). Fikirkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kempen Vote For Muslim yang digerakkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menjelang PRK Tanjung Piai.

Dalam PRK kali ini, BN mempertaruhkan Wee Jeck Seng manakaka Bersatu diwakili  Karmaine Sardini.

Gerakan pula meletakkan Timbalan Setiausahanya, Wendy Subramaniam sebagai calon. – MalaysiaGazette