PETALING JAYA : Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka berterima kasih kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan perbincangan undi tidak percaya terhadap beliau.

Ketika ditanya mengenai kenyataan terbaru Anwar mengenai itu, Dr Mahathir secara ringkas berkata ‘Terima kasih.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di ibu pejabatnya hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diminta mengulas mengenai penafian Anwar bahawa undi tidak percaya tidak pernah dibangkitkan oleh kepimpinan gabungan itu.

Anwar di lobi Parlimen berkata: “Yang bangkit undi tidak percaya itu puak yang nak buat undi (tidak percaya) sahaja.

“Tidak bangkit, takkanlah saya tidak tahu saya hubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mat (Mohammad) Sabu, (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng hampir setiap hari, tidak bangkit sama sekali.

“Tidak perlu pun kerana hubungan kita dalam kerjasama dan muafakat PH kuat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, mana-mana Ahli Parlimen bebas untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau.

“Kalau nak buat apa buatlah (undi tidak percaya), kita bebas sebab negara demokrasi. Mereka boleh kemukakan undi percaya dan mereka juga boleh kemukakan undi tidak percaya kepada saya,” katanya.

Selepas kekalahan teruk PH di Tanjung Piai, spekulasi undi tidak percaya tersebar susulan desakan dan kenyataan beberapa pemimpin akar umbi gabungan itu yang menyalahkan Dr Mahathir atas kekalahan mereka pada Sabtu lalu.