MELAKA : Belum reda sepenuhnya desas-desus mengenai pertukaran barisan kepimpinan kerajaan negeri Perak, kini pula dikhabarkan bakal berlaku ‘rampasan kuasa’ di Melaka.

China Press melaporkan, sebanyak 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan sekurang-kurangnya empat ADUN Pakatan Harapan (PH) mungkin bekerjasama untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dari Amanah semasa mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November.

Keadaan itu dijangka membolehkan ADUN UMNO dan ADUN PH yang bertukar haluan untuk menyokong seorang ketua menteri baharu yang berlatar belakang PH.

Sumber memberitahu, individu yang meneraju pelan “kerajaan pintu belakang” telah mengumpulkan sokongan sekurang-kurangnya 10 ADUN UMNO sementara tiga lagi dijangka menyatakan sokongan tidak lama lagi.

Selain itu, perancang itu juga sudah mendapat sokongan tiga orang ADUN PH.

Kerajaan negeri Melaka PH pada masa ini dibentuk melalui sokongan lapan orang ADUN DAP, Amanah (dua), Bersatu (dua), dan PKR (tiga).

UMNO pula mempunyai 13 kerusi dan merupakan pembangkang tunggal dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Walau bagaimanapun, UMNO Melaka dikatakan berpecah kepada dua kem yang masing-masing berorientasikan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Perancang utama ‘kerajaan pintu belakang’ telah mendekati kem Ab. Rauf terlebih dahulu.

Perancang itu juga dikatakan mempunyai imej yang kurang disenangi dalam PH kerana asyik membidas parti komponen PH, dipercayai sebagai strategi awal untuk membentuk ‘kerajaan pintu belakang’.

“Seawal tahun lepas, individu ini telah mendedahkan sedang mengintai jawatan ketua menteri.

“Individu ini malahan pernah memberitahu pemimpin masyarakat Cina bahawa beliau merupakan calon ketua menteri dan memberitahu akan mengisi jawatan itu selepas pilihan raya seterusnya,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menafikan wujud perancangan membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri itu.

Katanya, kerajaan PH utuh dan tiada sebarang gangguan di Melaka dalam meneruskan agenda-agenda yang ditetapkan.