Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebanyak 158 pusat pengundian dibuka di sekitar Parlimen Ipoh Timur untuk membolehkan seramai 2,675 anggota keselamatan termasuk pasangan melaksanakan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengurus Pilihan Raya P064, Datuk Zamri Man ketika ditemui Astro Awani berkata berdasarkan pemerhatian awal di tiga pusat mengundi kesemua proses termasuk penyeliaan pihak SPR berjalan dengan lancar.

Jelasnya, antara kawasan yang dilawati adalah di Kem 2 Briged Syed Putra dan ibu pejabat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sebelum ke Balai Polis dan Kompleks Latihan Polis Pasir Puteh.

“Antara pusat undian awal yang mempunyai pendaftaran pengundi awal paling ramai adalah di Balai Polis Pasir Puteh iaitu seramai 1,703 pegawai dan anggota, dan nampaknya pengundi-pengundi juga datang awal dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kami juga menjangkakan bahawa proses pengundian awal akan berakhir dengan lebih awal pada hari ini,”katanya kepada Astro Awani.

Zamri berkata, keseluruhan kakitangan bertugas ketika hari pengundian awal tersebut melibatkan seramai 1,470 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga SPR yang akan bekerjasama bagi menyelia dan mengawal keselamatan di setiap pusat.

Menurutnya, undian awal bagi Parlimen Ipoh Timur yang mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Tebing Tinggi, Canning dan Pasir Pinji kebanyakannya dijalankan di sekolah rendah dan menengah, kem tentera, dan sekolah agama rakyat.

“Proses undian awal bermula pada 8 pagi sehingga 5 petang dan selepas ini kesemua peti undi akan diiring oleh pihak PDRM dan SPR ke Balai Polis Sungai Senam, kemudian pada hari pengundian (9 Mei) kelak akan dibawa ke tempat perkiraan di Stadium Hoki, Sultan Azlan Shah.

“Kita jangkakan ianya akan dibawa ke stadium hoki pada 2 petang, sebelum proses pengiraan undi dibuat pada 4 petang,dan dibawa ke tempat penjumlahan undi di Stadium Indera Mulia iaitu pusat penjumlahan undi di mana kesemua undi pos, undi awal dan undian pada 9 Mei akan dikira bersama,”katanya lagi

BERITA BERKENAAN10,000 Peluang Pekerjaan Baru di Bagan Datuk

1/2