NYON, Switzerland: Manchester City akan berdepan Liverpool dalam saingan membabitkan pasukan dari England pada suku akhir Liga Juara-Juara, manakala Juventus berpeluang membalas dendam terhadap juara bertahan, Real Madrid dalam pertembungan ulangan final tahun lalu.

Pasukan yang penuh dengan pakej kejutan, Sevilla dari Sepanyol akan menentang Bayern Munich, manakala Barcelona dipertemukan dengan AS Roma pada undian di Nyon sebentar tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp, Liverpool akan menanti pasukan Pep Guardiola, City di Anfield bagi saingan pusingan pertama 3 atau 4 April ini ketika kedua-duanya bertemu buat kali pertama di Eropah dan pusingan kedua pada 10 atau 11 April ini.

Ia juga akan menjadi pertemuan pertama dua kelab England pada kelompok lapan terakhir Liga Juara-Juara, sejak Chelsea menentang Manchester United pada musim 2010-2011.

Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain berkata: “Kami sangat mengenali antara satu sama lain, mereka pasukan yang sangat suka menyerang, ia akan menjadi pertemuan yang hebat dan kita akan menyaksikan bola sepak yang bagus.”

Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya akan gembira bermain perlawanan kedua di laman sendiri, di Santiago Bernabeu apabila berdepan Juventus, dengan pengalaman kelab Itali itu terbukti penting ketika menewaskan kelab England, Tottenham pada kelompok 16 terakhir.

Bayern yang menyasarkan untuk menang mahkota Eropah buat kali keenam, akan berdepan Sevilla – pasukan yang melakukan kejutan menewaskan Manchester United, namun penjaga gol, Sven Ulreich berkata, mereka lega dapat mengelak satu daripada pasukan utama.

“Ada undian yang lebih sukar. Ia boleh dilakukan, Sevilla juga sudah menyinar di Eropah dan mereka sudah menang tiga Liga Europa,” kata Ulreich.

“Jadi kami akan fokus apabila ke sana (perlawanan pertama) dan kami akan melakukannya di laman sendiri.” – AFP