Oleh:Nazialita Geynna Maharan 

CHEMOR: Seramai 53 penghuni di Rumah Anak-Anak Yatim Yayasan Amanah An Nur Maisarah di sini diceriakan dengan kehadiran Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang menjelajah sejauh 250 kilometer sempena Hari Pekerja 2017.

Presiden UNI MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kehadiran kontinjen konvoi dari Kuala Lumpur itu adalah untuk memenuhi hasrat dalam melaksanakan program bersifat komuniti sekaligus membawa kegembiraan buat penghuni rumah anak-anak yatim berkenaan.

Katanya, ketibaan konvoi sebanyak 30 buah kenderaan dan 20 motosikal itu mendapat respons cukup meriah daripada penghuni An Nur Maisarah ditambah pula dengan kemesraan para kakitangan UNI MLC.

 “Tujuan kami datang ke sini adalah sekadar mengambil kesempatan beramah mesra dengan anak-anak yang istimewa ini, makan tengah hari bersama dan berbual dengan mereka.

“Selain itu, kami juga membantu semampunya dengan memberikan beberapa sumbangan seperti bantal, tilam, cadar, peralatan kebersihan dan sebagainya bagi kemudahan anak-anak di sini,”katanya ketika ditemui di perkarangan rumah tersebut.

 An Nur Maisarah merupakan sebuah pertubuhan yang dibina pada tahun 2006 dan kini menempakan seramai 53 penghuni lelaki berusia dalam lingkungan semua satu tahun hingga 19 tahun.

Turut hadir, Pengerusi Rumah Anak-anak Yatim Yayasan Amanah An Nur Maisarah, Dr Fazillah Nordin.

Katanya Fazillah, kehadiran UNI MLC amat dihargai kerana sudi meluangkan cuti Hari Pekerja bersama dengan anak-anak yatim ini.

Jelas beliau, sebelum ini terdapat penghuni yang telah berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat IPTA dan pihaknya yakin mereka akan mampu berjaya dengan sokongan yang padu.

 “Kata-kata dorongan, pemberi semangat amat diperlukan oleh anak-anak yatim ini, nescaya mereka akan mampu berdikari dan berjaya satu hari nanti, dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

 “Apa sahaja aktiviti dan program yang kita lakukan, adalah dengan objektif agar mereka tidak berasa terpinggir atau rendah diri untuk berdepan dengan rakan-rakan sebaya,”katanya.

UNIMLC 2