Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN SERAI: Mengeluarkan zakat perniagaan wajib dilaksanakan oleh umat Islam apabila cukup syaratnya; namun di Malaysia ia turut diamalkan oleh seorang ahli perniagaan bukan Islam, Tan Sri Fng Ah Seng.

Pengerusi Yayasan Muhibbah yang juga seorang pemaju perumahan terkemuka itu mengakui, terdapat berkat dari hikmah beliau mengeluarkan zakat selama ini.

Katanya, amalan memberi sebahagian daripada keuntungan perniagaan itu ternyata memurahkan rezekinya malah meningkatkan hasil kekayaan sebagai seorang usahawan tempatan.

Meskipun dia bukan Islam, Ah Seng berkata, tidak salah rasanya beliau memberikan sedekah daripada hasil keuntungan yang diperolehi oleh syarikatnya, Epic Valley Holding Berhad.

Menerima nasihat daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, beliau berkata, walau sekecil mana pun sumbangannya, ia tetap memberi manfaat kepada insan yang lebih memerlukan.

“Tidak dinafikan, syarikat saya semakin luas perniagaannya, bermula dari sebuah projek perumahan di Selama, kini meliputi semua negeri di utara Semenanjung.

“Saya bersyukur dapat mengikut nasihat mentor saya. Melalui cara ini, saya dapat meningkatkan kehidupan golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyampaian Bantuan Aidilfitri kepada fakir miskin sumbangan Yayasan Muhibbah Tan Sri Fng Ah Seng kali ke-13 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini pada petang Jumaat.

Seramai 200 orang penerima dari Bagan Serai dan Parit Buntar Merriam wang tunai RM200 seorang.

Manakala, 10 buah masjid menerima bantuan RM2,000 setiap masjid dan yayasan itu turut menyampaikan zakat RM20,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).

Menurut Ah Seng, RM1 juta dana bantuan dan zakat perniagaan diperuntukkan pada tahun ini, menerusi Yayasan Muhibbah untuk diagih-agihkan kepada golongan miskin di seluruh negara.

“Saya berbincang dengan Mufti mengenai hasrat untuk memberikan bantuan tersebut kerana sumbangan saya ikhlas untuk membantu golongan miskin,” katanya.

Sementara itu, Harussani berkata, tindakan Ah Seng harus menjadi contoh oleh jutawan bukan Islam yang lain.

Katanya, kesudian beliau mengeluarkan zakat perniagaan untuk membantu pembangunan asnaf adalah bukti sebenar seorang rakyat Malaysia yang amat bertanggungjawab.

“Yayasan ini membantu golongan asnaf dengan hasil keuntungan dalam melaksanakan projek perumahan di negeri mini.

“Kita harus berasa bertuah kerana mempunyai seorang tokoh usahawan berjiwa besar dan sentiasa membantu kebajikan masyarakat negara tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.