IPOH: Satu unit khas di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) wajar diwujudkan di setiap daerah bagi mengenalpasti kaum minoriti di Malaysia yang mempunyai bakat dalam bidang sukan.

Ketua Pemuda Parti Tindakan Hak Minoriti ( MiRA), R. Vijendran berkata kebanyakan golongan minoriti menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman sekaligus menjadikan peluang untuk bakat mereka diketengah agak terbatas.

MiRA, atau dikenali sebagai NewGen Party yang juga rakan strategik Pakatan Harapan mencadangkan perkara tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk saranan itu dipertimbangkan.

“Antara kaum minoriti di Malaysia adalah kaum India,Sikh, India Muslim,Gujerati, Sindhi. Baba Nyonya, Orang Asli, Orang Siam dan pelbagai kaum minoriti yang lain.

“Tujuan kami, adalah untuk melihat golongan minoriti ini tidak terpinggir pada masa akan datang dan terus memberi peluang dalam sukan Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan media di sini,hari ini.

Katanya, golongan tersebut juga sebenarnya mempunyai kelayakan dan semangat sukan setanding dengan kaum majoriti lain di negara ini.

Menurut Vijendran, parti yang memainkan peranan memperkasakan dan melindungi hak kaum minoriti di Malaysia juga berharap agar saranan mereka diberikan perhatian daripada pihak KBS.

“Kami di MiRA akan terus memberi sokongan yang tinggi dalam segala usaha yang akan diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq kelak, dengan tujuan untuk meningkatan potensi sukan di mata dunia.