Johor Bahru: Polis Johor menerima tiga laporan berhubung komen menyentuh sensitiviti agama di laman sosial berikutan pergaduhan di Surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, polis sentiasa memantau kes berkenaan dan mengenalpasti beberapa akaun Facebook (FB) yang mengeluarkan komen negatif sehingga menyentuh isu perkauman dan agama.

Katanya, satu unit siasatan khas di Bukit Aman akan menyiasat semua laporan berkaitan komen negatif dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Perkara itu dalam perhatian unit siasatan khas Bukit Aman dan mereka akan kumpulkan semua laporan berkaitan.

“Setakat ini di Johor, kita menerima tiga laporan polis berkaitan komen negatif berhubung isu itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Pada 1 pagi semalam, polis menahan empat lelaki selama hampir tiga jam untuk merakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

-myMetro