Universiti disaran melakukan anjakan paradigma daripada kewujudannya sebagai institusi yang bersendirian kepada peserta aktif dan penting dalam ekosistem digital global ketika ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini kerana universiti sedang berdepan cabaran untuk menghasilkan pelajar yang bersedia menghadapi pekerjaan yang mungkin belum wujud pada masa ini, dan menawarkan pengalaman pendidikan yang sinonim dengan dunia ‘anak kelahiran digital’.

Justeru itu titah baginda, universiti perlu mencetuskan inovasi dan menghadapi teknologi secara berdepan untuk terus kekal relevan.

“Universiti harus mempersiapkan pelajar agar berdaya tahan dan berkembang maju dalam dunia yang menyaksikan perubahan teknologi yang tidak sahaja menghasilkan pekerjaan baru, bahkan mungkin menghapuskan pekerjaan sedia ada.

“Adalah sukar untuk mendidik pelajar supaya lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan, jika universiti tidak ada fahaman yang jelas tentang corak pekerjaan masa hadapan.

“Maka majikan dan universiti harus berkolaborasi iaitu majikan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan sementara universiti harus mengembangkan kurikulum dengan sewajarnya” titah baginda.

Beliau bertitah demikian pada istiadat konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-9 di Kuala Kangsar pada Sabtu.

 

 

Baginda turut bertitah universiti wajib membantu negara menjadi pemain aktif dalam ekonomi digital dengan memenuhi peranan sebagai sumber inovasi dan harta intelek, pengurus berkebolehan serta hab kolaberasi.

Sultan Nazrin yang juga Cancelor USAS bertitah, kerenah birokrasi dalaman merupakan bahagian yang penting dalam ekosistem inovasi supaya universiti mampu berubah dan beradaptasi selari dengan perubahan masyrakat, kerajaan serta sektor perusahaan.

“Di samping aspek-aspek formal pendidikan untuk menghasilkan tenaga kerja dan masyarakat yang cerdas, tangkas, inovatif, dan berdaya tahan, universiti mempunyai peranan penting sebagai penghubung unggul dalam ekosistem digital.

“Ini memerlukan minda kolaborasi dan perkongsian terbuka agar universiti dapat membantu, mencipta semula masa hadapan, dan beraksi bukan sahaja sebagai penyokong malah sebagai pencetus teori dan teknologi baru,” titahnya baginda.

Dalam majlis tersebut seramai 492 graduan USAS telah menerima diploma masing-masing daripada Sultan Nazrin.