Takbai (Selatan Thailand): Baru enam hari umat Islam menyambut Ramadan, pekan Takbai di sini, pula sudah menerima kunjungan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan mercun dan bunga api.

Mereka yang sebahagian besarnya dari Kelantan menyeberang Sungai Golok di Pengkalan Kubor untuk mendapatkan mercun dan bunga api yang harganya jauh lebih murah.

Mereka menggunakan bot penumpang yang berpangkalan di pangkalan haram menyeberangi sungai itu untuk ke gudang menjual bahan api di lorong tersembunyi di pekan ini.

Peniaga mercun yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Moh, 65, berkata, dia menerima pelanggan dari Malaysia bermula hari ketiga Ramadan.

Menurutnya, walaupun mercun dan bunga api adalah barang terlarang penjualannya serta disekat pihak berkuasa Thailand, dia tetap menjualnya kerana keuntungan lumayan yang diperoleh.

“Saya sedar risikonya kerana kerajaan kami juga mengharamkan penjualannya seperti di Malaysia, oleh itu saya menjualnya secara sembunyi,” katanya.

Kak Moh yang memulakan perniagaan sejak 20 tahun lalu berkata, kebanyakan pelanggan dari Malaysia akan menjual semula mercun dan bunga api yang dibeli di kedainya kepada rakan mereka pada harga lebih tinggi.

“Mereka memilih menyeberangi sempadan bagi mendapatkan mercun dan bunga api.

“Di sini ada pelbagai mercun dan harga pun berpatutan,” katanya.

Tinjauan di sepanjang Sungai Golok semalam, mendapati beberapa bot penumpang berulang-alik di sungai itu membawa penumpang Malaysia yang dipercayai menuju ke gudang terbabit.

Pihak berkuasa sempadan Malaysia seperti tentera dan polis marin meningkatkan operasi mereka di sepanjang Sungai Golok pada musim perayaan ini bukan saja bagi menyekat kemasukan bahan terlarang itu, tetapi juga aktiviti penyeludupan lain.

Sementara itu, seorang penyeludup bahan terlarang itu yang enggan dikenali berkata, permintaan untuk mercun dan bunga api di negeri itu tinggi sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini kami hanya menerima permintaan untuk beras Thailand, tetapi sekarang bertukar kepada mercun dan bunga api yang menjadi bahan panas,” katanya ditemui di satu pangkalan haram di Pengkalan Kubor.

Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu berkata, pendapatannya menjadi dua kali ganda berbanding sebelum ini iaitu antara RM200 dan RM400 sehari – berita harian