BUKIT KAYU HITAM: Tertarik dengan upah lumayan RM2,000 untuk setiap kereta membuatkan dua lelaki sanggup menanggung risiko menyeludup pelbagai jenis mercun bernilai RM100,000 dari negara jiran.

Bagaimanapun tindakan mereka berusia 40-an yang membawa kereta secara berasingan itu mengundang padah apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang bertugas di sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam, di sini, 9 malam tadi.

Silauan cahaya lampu dua kereta di kawasan tapak lama Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menimbulkan curiga dalam kalangan anggota AKSEM menyebabkan mereka menahan kereta itu untuk pemeriksaan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi AKSEM, Senior Asisten Komisioner Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, hasil pemeriksaan kenderaan terbabit menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya percaya dua lelaki itu hanya diupah untuk membawa keluar bahan letupan itu dan kegiatan itu membabitkan banyak rangkaian sindiket.

“Upah lumayan sebanyak RM2,000 untuk sebuah kereta menyebabkan mereka berani melakukan kegiatan itu walaupun tahu risiko yang bakal dihadapi apabila ditahan anggota kami.

“Mereka juga sanggup menggunakan laluan belakang dari ICQS kerana bimbang kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa disebabkan kawalan ketat di sempadan oleh pelbagai agensi.

“Kita percaya modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan menggunakan peluang sewaktu solat tarawih atau selepas waktu berbuka puasa dan menggunakan laluan belakang sebagai cara melepaskan diri namun gagal,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Megat Mohamad Aminuddin bersama pegawai dan anggotanya berbuka puasa di sempadan Bukit Kayu Hitam selepas mesyuarat, di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu adalah rampasan keempat membabitkan mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk sepanjang Ramadan ini.

Katanya, antara mercun yang paling banyak dirampas malam tadi adalah 10 guni besar mercun bola yang paling bahaya selain mercun ayam yang kini tular di laman sosial.

“Sindiket sentiasa mencari peluang untuk melakukan kegiatan penyeludupan mercun namun rondaan kerap dan kawalan ketat di sempadan negara menyebabkan ramai yang berputih mata apabila ditahan anggota kami.

“Jumlah rampasan mercun dan bunga api ini dianggarkan bernilai RM100,000 manakala dua kereta terbabit turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tak berkastam,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Mohamad Aminuddin berkata, pihaknya terus memperketatkan semua laluan masuk ke negara ini terutamanya di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis dalam memastikan tidak berlaku pembolosan barangan yang diseludup serta kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Beliau berkata, paling banyak kes barangan yang cuba diseludup adalah di Kelantan, Perlis dan Kedah namun pihaknya mempunyai strategi tersendiri untuk mengurangkan kegiatan itu dengan mengenal pasti punca dalang yang membawa masuk barangan berkenaan.

“Namun kemalangan membabitkan letupan mercun dan bunga api juga berkurangan cuma satu kes dilaporkan di Kelantan yang menyebabkan tangan mangsa hancur akibat terkena mercun.

“Ini membuktikan kawalan ketat anggota kita di sempadan berjaya mengurangkan kes berkenaan berbanding tahun sebelumnya,” katanya – berita harian