TANJUNG MALIM — Arus pemodenan yang semakin pantas berkembang telah memperlihatkan minat belia negara dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) semakin berkurangan.

Menurut Laporan Modal Insan dan Sains 2015 oleh Akademi Sains Malaysia, semakin sedikit pelajar negara ini cenderung memilih mengikuti bidang Stem di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.

Melihat akan masalah itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) mengambil langkah proaktif membawa perubahan dalam pendidikan antaranya mempergiatkan lagi minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM melalui pelbagai kaedah terancang termasuk Perak Metamorphosis of Young Stemers (PMOYST).

Menurut Naib Canselor Upsi, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. PMOYST adalah antara program ‘Young Innovators Challange’ diwujudkan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) yang mampu memberi pendedahan secara kreatif dan inovatif terhadap bidang sains.

“PMOYST 2018 kali ini menjadi program Mentor-mentee yang diwujudkan FSM sejak 2011 untuk berganding bahu bersama sekolah di Perak bagi meningkatkan minat dan literasi pelajar terhadap bidang Stem.

“Jadi menerusi usaha ini, kita mengharapkan program ini mampu menarik minat pelajar mendekatkan diri ke arah Stem,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program Perak Metamorphosis of Young Stemers (PMOYST) 2018 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari di Upsi Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini semalam.

Dr Shatar berkata, masalah itu perlu diatasi kerana negara ketika ini jauh ketinggalan dengan hanya tiga  peratus tenaga pekerja dalam bidang berkaitan Stem jika dibandingkan dengan gergasi ekonomi global seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Singapura yang mempunyai 30 peratus kakitangannya meliputi bidang Stem.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz berkata, pelbagai projek yang dipamerkan dalam program itu mampu menjadi platform yang baik kepada peserta untuk meningkatkan budaya penyelidikan, inovasi  dan pertukaran ilmu pengetahuan.

“Kita berharap program ini mampu menjayakan agenda negara bagi membangunkan modal insan inovatif dalam bidang Stem dan bijak mengaplikasikan teknologi ‘open source’ selaras dasar pendidikan negara,” katanya.

Program PMOYST 2018 adalah kerjasama FSM dengan kerajaan negeri melibatkan 25 sekolah menengah terpilih di seluruh Perak dengan pengisian program melibatkan dua fasa dalam usaha mencipta satu inovasi baru yang dapat menyelesaikan permasalahan berdasarkan aplikasi sains.

Selain itu, program bertemakan Transforming Young Minds, Creating Future Innovators itu juga bagi menunjukkan peranan generasi muda dalam kalangan pelajar bagi mempromosikan penemuan dan innovasi mereka ke tahap yang lebih tinggi. – Bernama