IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta aplikasi ‘Offline Public Access Catalogue’ (OffPAC) bagi memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada pengunjung perpustakaan.

Pegawai Teknologi Maklumat UPSI Khairul Asyrani Sulaiman berkata aplikasi mudah alih untuk Android dan iOS itu adalah hasil inovasi daripada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB).

Beliau berkata OffPAC dicipta untuk mengakses katalog awam PTB dan boleh digunakan walaupun tanpa akses internet.

‎”Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh membuat penanda terhadap hasil carian dan terus mengesan lokasi bahan carian selain membuat tempahan bagi bahan berstatus ‘circulated’,” katanya.

Beliau berkata aplikasi itu turut dilengkapi dengan pengimbas kod bar yang boleh digunakan untuk mengimbas Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) pada belakang buku.

Aplikasi OffPAC pernah memenangi dua pingat emas di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2017 dan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2017. – BERNAMA