IPOH: Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan hubungan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dengan enam institusi pendidikan di United Kingdom.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, UPSI menyatakan, kerjasama itu membabitkan Bristol University, University College London, Institute of Higher Education, University of Birmigham, University of Salford dan University of Stirling.

Antara kerjasama yang dilaksanakan adalah program pertukaran pensyarah, pertukaran modul serta menjadi penilai program dan pelajar menerusi program Doctor of Education (EdD) yang akan mula ditawarkan di UPSI bulan depan, katanya.

Menurut UPSI, kerjasama berkenaan dijalin semasa lawatan wakil universiti itu ke United Kingdom selama tujuh hari yang berakhir pada 25 Ogos lalu.

Lawatan itu diketuai oleh Dekan Fakulti FPE Prof Dr Hamidah Yusof, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPE Dr Asri Mohd Noor serta Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah Prof Madya Dr Ramlee Ismail.

“Semua institusi pendidikan tersebut menyatakan hasrat untuk membantu FPE mendapatkan khidmat pakar dalam bidang kepimpinan dan dasar pendidikan dari beberapa negara di Eropah, Amerika dan Asia.

“Ini seterusnya menyumbang ke arah menjadikan program EdD sebagai yang paling unik dan terbaik di negara ini,” kata kenyataan itu lagi.