Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama kerajaan Lithuania akan membangunkan projek teknologi Solar PV.

Projek ‘Lithuania-UPSI Solar PV Project’ bernilai RM1 juta itu dilaksanakan dengan 70 peratus dibiayai kerajaan Lithuania manakala selebihnya BOD Group.
Objektif utama projek tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menerokai pembangunan teknologi solar selain menjadikan Perak sebagai asas bagi pihak-pihak yang berminat melabur dan memasarkan teknologi hijau itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata projek tersebut akan menggabungkan ilmu penyelidik UPSI dalam menjana tenaga elektrik secara mesra alam dengan pengalaman dan teknologi dari negara eropah tersebut.

Tambah beliau, perkongsian itu juga dibuat berikutan kemampuan Lithuania menghasilkan teknologi solar yang murah dari segi kos berbanding sesetengah negara lain yang lebih mahal dan rumit.

“Ianya sesuai dengan negara kita, malah UPSI juga dipilih kerana ianya bukan sahaja dikenali sebuah pusat pendidikan tetapi sebagai pusat penyelidikan dengan kepakaran saintis dan bidang lain.

“Saya harap kajian yang dilakukan ini dapat memberi impak yang baik kepada kawasan ini dan kita akan lihat dari segi potensi yang ada dalam bidang ini. Kerjasama ini juga memberi impak kepada hubungan dan usahasama antara kerajaan negeri dengan Lithuania,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek tersebut yang dinamakan Lithuania-UPSI Solar PV di Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI pada Selasa.

 


Turut hadir Pengarah Urusan BOD Group, Rimgaudas Kalvaitis, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Puhat Mat Nayan, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa dan Presiden Lithuania-Malaysia Business Council, Paulius Kuncinas.

Dalam pada itu, Dr. Zambry berkata, projek tersebut merupakan hasil lawatan beliau ke negara tersebut beberapa tahun lalu yang antara lain membincangkan usaha perpindahan teknologi ke Asia Tenggara.

“Kita mengambil peluang ini bersama BOD Group dari Lithuania berkongsi pengalaman dan memberi faedah kepada kedua-dua pihak dan ianya adalah satu permulaan baik dalam membina kerjasama dan hubungan strategik,” jelas beliau.

Rimgaudas memberitahu projek itu akan berjalan selama 12 bulan bermula hari ini.

“Kita mengharapkan kerjasama ini akan membuahkan hasil pada masa akan datang,” katanya.