IPOH: Sistem Maklumat Kewangan (MyFIS) hasil inovasi Jabatan Bendahari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya dikomersialkan kepada enam agensi dengan nilai perolehan sebanyak RM14.8 juta sejak 2012.

Bendahari UPSI, Khadijah Hamdan berkata, enam agensi itu ialah Universiti Malaysia Sarawak, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Lembaga Urus Air Selangor, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Katanya, MyFIS merupakan sistem pengurusan kewangan berkomputer yang mempunyai 11 modul berintegrasi dan menyeluruh antaranya Modul Bajet; Modul Perolehan; Modul Pengurusan Tunai, Modul Gaji serta Modul Cukai Barang dan Perkhidmatan.

“Modul itu berintegrasi dengan aplikasi utama lain di UPSI iaitu Sistem Maklumat Akademik dan Rekod Pelajar, Sistem Maklumat Pentadbiran dan Sumber Manusia, Portal Komuniti MyUPSI, Portal Vendor@UPSI dan Portal e- Payment@UPSI,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Khadijah berkata, pembangunan Sistem MyFIS adalah mengikut Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) dan mematuhi Pekeliling Arahan Perbendaharaan berkonsep single data entry.

“Ini kerana setiap transaksi yang dilakukan mengambil kira akaun yang berkaitan serta dibangunkan secara web-based selain berintegrasi dengan aplikasi utama yang lain dan menyelesaikan masalah ketidaktepatan data,” katanya.

Khadijah berkata, MyFIS juga mempunyai aplikasi portal yang lengkap dan menyeluruh berkaitan pengurusan kewangan untuk kakitangan, pelajar dan pembekal, mempunyai kawalan keselamatan tinggi iaitu aplikasi ‘Digicert’ dan ‘Secure Socket Layer’ serta mesra pengguna.

“MyFIS pernah menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Pingat Emas dalam Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) serta Anugerah Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak,” katanya.