TANJUNG MALIM, 24 Okt (Bernama) — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan untuk berada dalam kedudukan 100 universiti pendidikan perguruan terbaik dunia dalam QS World University Rankings menjelang 2020, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata bagi merealisasikan sasaran itu, UPSI telah menstruktur semula Pelan Strategik Universiti dengan menggariskan 5K sebagai hala tuju universiti iaitu keunggulan graduan, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi, kelestarian jaringan industri dan masyarakat serta keutuhan tadbir urus.

Katanya berpandukan kepada teras serta komitmen dan momentum yang ditunjukkan oleh warga UPSI, ia mampu merealisasikan visi serta misi dalam tempoh yang lebih cepat.

“Di samping teras dan hala tuju universiti, para graduan UPSI akan menjadi antara graduan yang paling dikehendaki oleh majikan pada tahun 2020.

“Bermula tahun ini, UPSI telah memperkenalkan inisiatif nilai tambah yang mana setiap pelajar bukan sahaja memiliki segulung ijazah malah mereka juga akan dibekalkan pelbagai kemahiran terkini yang diiktiraf oleh badan bertauliah sama ada dari dalam dan luar negara.

Mohammad Shatar berkata demikian dalam ucapan pada Istiadat Konvokesyen UPSI ke-19 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim selaku Canselor universiti berkenaan.

Menurut beliau, pedagogi UPSI juga akan melalui proses transformasi sejajar dengan peranan universiti itu sebagai peneraju dalam merealisasikan agenda \’Education 4.0\’ di negara ini.

Beliau berkata sistem pembelajaran dan pengajaran konvensional akan direncanakan kepada pendekatan yang lebih signifikan seperti ‘blended learning’ dan ‘flipped-classroom’.

“UPSI juga menerapkan budaya keusahawanan dalam diri setiap pelajar dengan mewujudkan ‘UPSI Shoppe’ bagi memberi ruang serta peluang kepada pelajar untuk berniaga sekali gus melatih mereka menjadi seorang usahawan.

“Menerusi inisatif ini, saranan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengubah landskap para graduan daripada ‘job seeker'(pencari kerja) kepada ‘job creator’ (pencipta kerja) bakal dicapai,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen tahun ini, UPSI menganugerahkan diploma dan ijazah kepada 5,182 graduan iaitu 3,821 graduan menerima diploma dan ijazah selain menganugerahkan Ijazah Sarjana kepada 1,260 penerima serta 101 graduan pula bakal dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

UPSI turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada bekas Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Pada istiadat konvokesyen itu juga, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilantik sebagai Pro Canselor UPSI yang baharu menggantikan Tan Sri Yahaya Ibrahim yang tamat lantikan, Ogos lepas.

UPSI juga turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan kepada 45 graduan antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Kategori Ijazah Doktor Falsafah dan Anugerah Bitara pada sidang pertama istiadat konvokesyen tersebut.

— BERNAMA