IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Teluk Intan dijangka siap sepenuhnya pada September 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, kerja-kerja tanah telah dimulakan pada 29 Februari 2016 yang dijangka siap 5 Jun ini.

Menurut beliau, pihak kontraktor akan memastikan kerja-kerja yang dijalankan mengikut jadual dan masa yang telah ditetapkan dengan mengikut kos projek sebanyak RM23.3893 juta.

“Objektif utama adalah untuk menyiapkan semua kerja di bawah tanggungjawab kontraktor utama mengikut jadual dan berkualiti serta mematuhi semua spesifikasi dan piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak JKR,” katanya semasa menjawab soalan R. Terence Naidu (DAP – Pasir Berdamar) ketika Sidang DUN pada Isnin.

Dr. Amin memberitahu, sehingga 17 Mac 2017, peratus kemajuan kerja mengikut jadual adalah sebanyak 95.86 peratus berbanding kemajuan sebenar di tapak adalah 97.27 peratus atau lebih lebih 1.41 peratus daripada jadual perancangan.

Menurutnya, bagi jadual kerja yang seterusnya adalah pembinaan bangunan UPSI) Teluk Intan fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke – 11 seperti yang telah ditetapkan dalam laporan kajian `value engineering’.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan), Dr Amin menjelaskan bahawa kampus UPSI Teluk Intan hanya merupada sebuah fakulti tambahan, bukannya sebuah universiti.

Kepada soalan tambahan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN – Changkat Jong), beliau memberitahu, kampus itu akan menempatkan penuntut bagi kursus teknikal dan vokasional.

Menurutnya, UPSI Tanjung Malim sudah mempunyai kursus teknikal dan vokasional yang menempatkan kira-kira 500 penuntut dan mereka akan dipindahkan ke kampus Teluk Intan apabila siap kelak.

“Kampus Teluk Intan akan mengambil kira-kira 900 penuntut, menjadikan jumlah keseluruhan 1,400 penuntut yang akan ditambah dari semasa ke semasa,” tambah beliau.