IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS), Indonesia, untuk melaksanakan program dua hala latihan mengajar bagi tempoh lima tahun.

MoA ditandatangani Naib Canselor Upsi, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran manakala UMS diwakili Rektornya Prof Dr Sofyan Anif pada majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim, semalam.

Mohammad Shatar dalam satu kenyataan berkata program kerjasama yang dijalin bertujuan memastikan graduan Upsi mempunyai kualiti mencukupi untuk ditugaskan sebagai guru di negara ini.

Katanya, sesebuah universiti tidak akan cemerlang tanpa adanya jaringan kerjasama universiti sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Kerjasama ini akan memberi pendedahan dan membolehkan pelajar UPSI mempunyai kemahiran yang berbeza semasa mereka menjalani latihan di UMS.

“Dengan adanya latihan mengajar ini, kita dapat meningkatkan kualiti dari segi akademik dan akhlak pelajar seterusnya mampu mematangkan bakal guru keluaran Upsi,” katanya. -Bernama