IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim menjadi universiti awam pertama di negara ini memiliki stesen radio yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook.

Siaran radio dikenali sebagai ‘TMFaceLive’ yang mula bersiaran sejak 9 Julai lalu itu cetusan idea para pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

“TM membawa maksud Tanjung Malim yang merupakan lokasi kampus UPSI manakala face pula membawa maksud wajah-wajah mahasiswa UPSI,” menurut UPSI dalam satu kenyataan.

TMFaceLive bersiaran Isnin hingga Khamis dari 10 pagi hingga 2 petang, dan pada hari Jumaat dari 9 pagi hingga 1 petang.

Ia mempunyai 10 segmen antaranya My Berita, Info UPSI, Wacana Intelek, Da’i Remaja serta menyiarkan pelbagai lagu yang dinyanyikan oleh pelajar UPSI. – Bernama