Oleh:Nazialita Geynna Maharan

Tindakan untuk tidak membuat sebarang pengumuman oleh pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini merupakan sebuah inisiatif murni malah diterima dengan baik oleh golongan ibubapa.

f35b46c4-afb0-4474-b5f8-ecb26cd714c4Tinjauan Suara Perak di sekitar Ipoh, Perak mendapati rutin tahunan kebiasaan di mana pelajar cemerlang akan diberikan pujian serta penghargaan tidak digantikan dengan suasana suram sewaktu mendapat slip keputusan sebaliknya dihargai baik oleh pelajar dan ibubapa.

Malah, kebanyakan daripada ibubapa berkata kini mereka juga lebih menyedari bahawa penilaian anak-anak tersayang mereka turut dikira berdasarkan tiga komponen lain dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Bagi Dr Kirubagaran, beliau menyokong penuh inisiatif berkenaan dan melihat bahawa pentaksiran bilik darjah (PBD); pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi) amat bermanfaat buat anaknya.

Tambah beliau, pendekatan yang dilihat amat prihatin itu sebenarnya secara tidak langsung boleh menjaga emosi calon khususnya yang gagal mendapat keputusan yang cemerlang dan sifat membandingkan bilangan “A” bersama rakan-rakan mereka.

“Sebenarnya, saya tak pernah mendesak anak-anak untuk melihat UPSR ini sebagai penghujung jadi apabila KPM buat keputusan begini saya menerimanya dengan cukup baik.

Saya selalu berpesan kepada ibubapa dan rakan-rakan saya untuk menghargai usaha anak-anak selama ini kerana mereka telah bertungkus-lumus untuk mendapatkan kejayaan, kita sebagai orang tua kena mendorong mereka tak kira apa keputusan mereka.

“Apa yang paling penting, mereka sedar bahawa ini merupakan permulaan kepada lebih banyak cabaran akademik di masa akan datang, dan kita mainkan peranan sebagai seorang pembimbing untuk mereka dapatkan kehidupan lebih cemerlang, untuk PT3 dan SPM pada masa akan datang,”katanya kepada Suara Perak.

Selain itu, Asmaliza Mazlan juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk ibubapa membuka minda mengenai keputusan berdasarkan sekeping kertas yang dilihat sudah kurang dari segi relevan pada hari ini.

Jelasnya, UPSR masih merupakan batu loncatan kepada kecemerlangan dan kelangsungan pembelajaran di Malaysia namun ianya bukanlah alasan untuk tidak menghargai penat lelah anak-anak yang hari ini semakin diasak dengan pelbagai cabaran dunia luar.

“Pendidikan hari ini, cukup berbeza dengan zaman saya dahulu. Ada pelbagai aspek yang dinilai dan bukannya hanya sekadar sebuah peperiksaan besar sahaja, semua komponen yang menentukan perbadi, sahsiah, jasmani, kemahiran berfikir menjadi faktor kejayaan anak-anak.

“Pesan saya, kita jangan beri tekanan sehingga mendatangkan stress kepada anak-anak kita, sekiranya mereka tidak membawa pulang seberapa banyak “A” yang kita hendak, kerana kita kena ingat, kita ini pendorong, yang memegang pen itu mereka. Bersyukur, galakkan mereka, dan biar mereka ada kesedaran untuk menentukan hala tujuan hidup bermula hari ini,”katanya kepada Suara Perak.

Selain itu, golongan pelajar yang ditemui Suara Perak di sekolah mereka juga dilihat masih lagi gementar sewaktu tiba di pagar sekolah namun tiada riak sedih dan muram di wajah masing-masing.

Malah, kebanyakan daripada mereka melihat keputusan yang diperoleh di tangan sebagai usaha sepanjang enam tahun sesi pembelajaran dan bukannya sebagai penamat kepada perjalanan akademik dan untuk mencuba dalam penilaian di PT3 dan SPM.

Tan Huay Kee, berkata keputusan peperiksaannya dilihat sebagai sederhana namun beliau tidak begitu berasa malu mahupun sedih kerana rakan-rakannya turut memberi semangat.

“Saya pasti akan berasa sedih, sekiranya emak lihat rakan-rakan saya naik pentas, terima sijil rakan sekelas yang dapat A penuh, bukan saya cemburu, tetapi saya tak nak emak dan ayah hampa.

“Nasib baik, pada tahun ini, saya tengok guru-guru mengucapkan tahniah kepada semua rakan-rakan termasuk diri saya, mereka yakin bahawa kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik, dan sentiasa berpesan untuk jangan putus asa.

“Kawan-kawan yang dapat keputusan baik pun, beri semangat kepada kami, mereka kata ini bukan keputusan penuh, mungkin tiga komponen lain kami boleh “skor”,”katanya sambil memegang slip keputusan UPSRnya.

SEcara kesimpulannya, Suara Perak mendapati pendekatan terbaharu Kementerian Pendidikan Malaysia itu telah membuka mata kesemua pihak untuk tidak hanya memberi tumpuan kepada kuantiti sebanyak mana calon mendapat A dalam semua subjek.

Sebaliknya, ianya telah memberi harapan kepada semua pihak untuk menilai dalam perspektif yang lebih luas iaitu tiga komponen PBS untuk melihat pencapaian murid secara keseluruhan.

Terdahulu, SM Tarcisian Convent, di Silibin, dekat sini tidak membuat sebarang pengumuman berkenaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang sebaliknya hanya menyerahkan slip keputusan kepada kesemua calon UPSR seramai kira-kira 140 calon hari ini.