SEBAGAI pengunjung yang mengimpikan persekitaran yang mendamaikan dan keterujaan untuk melihat pelbagai spesies burung hijrah, pasti akan terkesan melihat keadaan sampah yang tidak diurus dengan baik. Isu sampah bukan perkara baru di kawasan pelancongan terkenal Kuala Gula yang terletak di daerah Kerian, bahkan sudah dicadangkan pelbagai penyelesaian, namun hasilnya tetap sama.

Perkara ini dibangkitkan sendiri oleh salah seorang penduduk yang juga nelayan Kuala Gula, Tan Eng Chong, yang menyifatkan situasi itu mencemarkan nama Kuala Gula yang sinonim sebagai kawasan pelancongan. “Semua bermula dari kesedaran masing-masing, tempat ini, terutama di persisiran pantai tidak diambil alih oleh Majlis Daerah Kerian (MDK), sampah sarap kami yang urus sendiri, kerana tiada cukai taksiran dikutip untuk tujuan itu.

“Kuala Gula adalah destinasi ekopelancongan, sebelum ini ada dijalankan program berasaskan pelancongan tetapi keadaan tempat ini penuh dengan sampah. “Apa yang saya buat selaku ketua dalam pencinta alam ialah dengan mengadakan gotong-royong mengutip sampah sarap mengikut yang terdaya, baru-baru ini MDK ada ambil alih tapi di bahagian taman perumahan saja,” katanya kepada Suara Perak

Kebersihan Melambangkan Sikap

Kawasan yang terkenal dengan ketam lembut dan hasil laut itu sememangnya menjadi tumpuan ramai khususnya cuti hujung minggu, apatah lagi menjelang musim untuk memerhati burung. “Masalah sampah masih sama sampai sekarang, walaupun MDK tidak kenakan cukai taksiran, pihak mereka tetap sediakan satu tong sampah besar, jadi kami perlu upah orang untuk kutip sampah tersebut.

“Sepatutnya komuniti sendiri harus bayar bagi kos itu, tetapi apabila kita minta penduduk untuk bayar kos kutipan sampah, mereka pula enggan bayar, situasinya seperti “mengapa saya perlu bayar?”, saya buang saja dalam sungai,” kata Tan yang kesal dengan sikap segelintir penduduk

Sisa Restoran Makanan Laut, Masalah Haiwan Liar

Sampah sarap yang terkumpul dari restoran di Kuala Gula pada waktu hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad turut mengundang rasa tidak senang penduduk. Timbunan sampah yang tidak berkutip ketika waktu kemuncak itu menyebabkan ia menjadi tumpuan binatang liar seperti anjing, sehingga menyebabkan plastik sampah terburai dan mengeluarkan bau busuk.

“Pekerja kita kutip sampah setiap hari selama seminggu, namun pihak MDK hanya tiga kali seminggu iaitu hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Mereka yang berniaga di restoran perlu tunggu hingga hari Isnin. “Sepanjang tempoh itu, memang banyak sampah terkumpul kerana ramai yang datang ke sini hujung minggu, bayangkan anjing liar koyakkan plastik sampah untuk cari makanan,” katanya yang berharap isu sampah di Kuala Gula dapat ditangani segera.

Kuala Gula terkenal dengan aktiviti memerhati

Jangan Biarkan Sampah ‘Kuburkan’ Kuala Gula

Perkampungan nelayan di sini banyak bergantung kepada sektor pelancongan untuk menjana sumber ekonomi penduduk setempat, khususnya dari segi keunikan spesis burung serata dunia. Diakui produk eko-pelancongan yang wujud di sini begitu bernilai untuk dikekalkan, lebihlebih lagi di peringkat antarabangsa seperti pelancong Amerika Syarikat, Australia, Eropah dan Jepun dengan aktiviti memerhati burung.

 

Tidak berbaloi sekiranya masalah sampah menjadi penyebab terkuburnya aktiviti pelancongan di sini, tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak jika tiada kesedaran dalam diri masing-masing untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Sementara itu Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kerian (MDK) Helmi Yusof@Jusoh ketika dihubungi Suara Perak berkata bermula Julai tahun ini pihaknya telah memulakan operasi kutipan sampah serta pemotongan rumput di kawasan tersebut.

“Memandangkan proses kutipan cukai akan dijalankan bermula Julai ini, kami masih dalam peringkat untuk memberi makluman kepada penduduk dengan penghantaran bil cukai taksiran. “Setakat ini MDK telah melaksanakan kerja pemotongan rumput dan perlu menyusun atur tugasan lori sampah ke kawasan yang terlibat, operasi itu hanya boleh dijalankan dengan pelaksanaan cukai taksiran kepada penduduk kerana semuanya melibatkan kos,” ujarnya.

Nelayan bergantung kepada hasil laut seperti
ketam dan kerang.