GERIK – Persatuan Anak Gerik di Perantauan (Pagar) kurang bersetuju dengan cadangan menghadkan jumlah pelancong ke Royal Belum.

Pengerusinya, Tajuddin Mohd Ali berkata, cadangan itu tidak sejajar dengan kempen pelancongan yang sentiasa mahukan peningkatan jumlah pelancong di sesuatu kawasan.

Menurutnya, pelaksanaan cadangan itu juga dikhuatiri memberi impak negatif kepada ekonomi penduduk tempatan yang dipercayai akan terjejas jika jumlah pelancong berkurang.

“Cadangan dari penambahbaikan aktiviti memancing adalah dengan menambah kekuatan anggota penguatkuasa, menyusun jadual atau menghadkan tempat-tempat boleh dikunjungi pemancing.

“Aktiviti pembenihan baka ikan perlu dibuat agar spesis tidak pupus manakala saiz tangkapan perlu ditetapkan. Pokoknya, penguatkuasaan perlu diperketatkan lagi dari semasa ke semasa.

“Jumlah house boat juga perlu dikawal namun keutamaan perlu diberikan kepada pengusaha sedia ada dan warga tempatan yang sedang beroperasi,” katanya.

Tambah beliau, antara perkara menggusarkan adalah meskipun Royal Belum merupakan hutan simpan namun dari maklumat diperolehinya, terdapat aktiviti pembalakan dijalankan berhampiran tasik tersebut.

Ujarnya, pihak berwajib harus bertindak bijak demi kepentingan semua pihak termasuk penduduk tempatan dan pelancong dalam usaha membangunkan sesebuah kawasan.

“Terdapat rungutan dari penduduk mengatakan masih terdapat aktiviti pembalakan. Sekiranya ada, ia perlu dihadkan dalam jarak atau keluasan tertentu dan proses penanaman semula wajib dijalankan.

“Jika semuanya dirancang dengan teliti, aktiviti boleh diteruskan dengan penambahbaikan yang perlu ada demi manfaat semua pihak,” ujarnya.