TAPAH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa pihak pembangkang supaya menghentikan permainan politik murahan yang mempersoalkan tindakannya mengutip sampah bersama-sama masyarakat setempat.

Katanya, inisiatif komuniti yang dijalankan secara bersepadu itu adalah usaha untuk membudayakan persekitaran bersih dan bukan satu gimik politik.

Menyentuh mengenai kawasan Tasek, Ipoh yang diisytiharkan sebagai lokasi wabak denggi, Dr Zambry berkata, ia adalah isu yang perlu dipandang serius dan tidak harus dijadikan mainan politik oleh pihak pembangkang.

“Sebab itulah, saya selalu tekankan mengenai program pembersihan, cuci sampah sarap, semua ini janganlah dipolitikkan kerana apa yang kita lakukan adalah untuk negeri kita sendiri, masalah begini (isu denggi) dapat kita elakkan.

“Sekiranya kita tidak menanam satu sikap di kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan di kawasan masing-masing, inilah contoh yang akan berlaku dan saya tidak mahu ini dijadikan soal politik; saya ulang, ini bukan soal politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan program bersama masyarakat India sempena Program Permukiman Daerah Batang Padang di Dewan Kg Samy di sini, hari ini.

Tegas Dr Zambry, pihak pembangkang perlu menghentikan sikap suka memainkan isu sekadar untuk menarik perhatian rakyat bagi agenda politik masing-masing dan bersifat kepentingan individu.

“Dia memainkan isu ini, dia hanya tahu saya turun menjaga masyarakat dan melakukan program-program sebegini, dia jadikan ia isu politik seolah-olah saya menggunakan pendekatan politik murahan,” katanya.