TELUK INTAN: Jambatan Sultan Yusof yang lebih dikenali sebagai Jambatan Batu Lima di sini, yang digunakan lebih 17,000 kenderaan sehari, masih selamat digunakan.

b17780a6-004d-4577-a3dd-d53ba2d7fdc8Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tidak berlaku sebarang keretakkan atau rekahan pada jambatan itu, seperti yang diviralkan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mendapan yang berlaku di jambatan itu adalah disebabkan kerosakan yg berlaku kepada walk bearing (Pot Bearing & Join Expansion) jambatan.

Ujarnya, semakan awal pihak Jabatan Kerja Raya mendapati struktur jambatan masih kukuh dan selamat digunakan kepada semua pengguna jalanraya.

“Yang pentingnya saya nak beritahu, setakat hari ini, tidak ada lagi pihak JKR mengeluarkan arahan untuk menutup jambatan ini. Jambatan ini masih selamat digunakan, tidak ada retakan atau rekahan dari segi strukturnya.

“Apa yang kita lihat daripada mata kasar pun kita boleh lihat di bawah ni, memang tidak ada apa-apa yang terlibat kepada struktur tiang dan juga penyambungan di atas,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau kerja-kerja pemeriksaan jambatan berkenaan oleh Unit Forensik Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR yang diketuai Dr Lim Cha Ching pada Isnin.

Jambatan Sultan Yusof yang dibina pada tahun 1989 merupakan laluan utama menghubungkan daeran Hilir Perak dan Bagan Datuk dengan daerah Manjung.

Menurut Zainol Fadzi, laporan pemeriksaan Unit Forensik JKR itu dijangka diperolehi dalam masa tiga atau empat hari, bagi mengetahui tindakan susulan yang perlu diambil.

Dalam masa sama, pengguna dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi papan tanda keselamatan yg telah dipasang di tapak bina, termasuk had laju tidak melebihi 50 kilometer sejam.