SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menjual papan tanda larangan merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pihaknya menerima aduan seorang pemilik restoran di negeri ini yang mendakwa seorang individu menjual papan tanda itu berharga RM20 seunit.

Katanya, individu terbabit hadir ke premis dengan memperkenalkan diri pegawai kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memaksa membeli papan tanda larangan berkenaan.

“Kami tidak pernah melantik mana-mana pihak bagi menjual papan tanda terbabit.

“Malah, siasatan sudah dibuat dan mendapati papan tanda dijual tidak mengikut Jadual Ketiga, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Veerapan berkata, papan tanda larangan merokok yang dibenarkan mesti berukuran panjang 50 sentimeter dan lebar 40 sentimeter.

Katanya, orang ramai perlu berwaspada dengan penyamaran individu tidak bertanggungjawab dan tidak terpedaya untuk membelinya.

“Jika didatangi individu terbabit, segera menghubungi polis supaya tindakan dapat diambil. Pemilik premis boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk maklumat lanjut,” katanya – berita harian