IPOH : “Walaupun sudah menerima wang deposit dan sewa bilik daripada pihak hotel namun keluarga tersebut masih enggan meninggalkan premis kami sebaliknya berkumpul di lobi dengan tujuan untuk viralkan situasi mereka yang didakwa teraniaya.

Demikian penjelasan pemilik Hotel Bajet Medan Kidd, Hamid Dullah yang tidak menolak kemungkinan ada unsur untuk menjatuhkan reputasi hotel miliknya.

“Mereka sudah setuju untuk daftar keluar malah ada resit bagi membuktikannya tetapi mereka duduk ramai-ramai di situ, mestilah ada aktiviti seperti membancuh susu untuk anak-anak dan sebagainya lalu viralkan gambar itu seperti kami tidak mengendahkan mereka,” ujarnya.

Menurut Hamid, pihak hotel telah pun menawarkan bilik lain bagi menggantikan pertindihan salah satu daripada empat bilik yang telah disewakan kepada mangsa.

“Kami akui kesilapan teknikal dalam tempahan bilik, seterusnya cuba untuk menghubungi keluarga itu tetapi tidak berjaya. Atas faktor itu pihak hotel terpaksa mengambil keputusan untuk memindahkan barang pelanggan itu di sudut lobi.

“Malangnya mereka mendakwa pihak hotel menyepahkan barangan itu dan menyebabkan kehilangan wang tunai berjumlah RM 1,000,”kata Hamid kepada Suara Perak.

Baru-baru ini tular di laman sosial apabila seorang pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Ucu Baah, memuat naik status mempertikaikan tindakan pekerja hotel tersebut mengeluarkan barang milik adik iparnya ketika mereka keluar beraya.

Dalam pada itu Hamid turut menegaskan pihaknya telah menyerahkan kes itu kepada pihak polis dan berdasarkan siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup didapati tiada sebarang bukti yang menunjukkan kes kecurian wang itu.

“Viralkan perkara sebegini bukanlah saluran dan jalan penyelesaian terbaik, ambil tindakan yang sesuai berpaksikan undang-undang dan bukannya dengan menokok tambah cerita yang tidak benar. Malah saya sendiri sudah membuat panggilan kepada salah seorang ahli keluarga dan meminta maaf pada waktu itu.

“Pihak polis telah klasifikasikan tiada unsur jenayah dalam perkara ini dan itu bukan kali pertama mereka menginap di sini kerana melalui kenyataan di Facebook sudah masuk kali ketiga, malah tiada sebarang aduan sebegini saya terima sepanjang menjalankan bisnes hotel,” kata Hamid.

Katanya, netizen tidak wajar mendengar penjelasan sebelah pihak sahaja, lalu mempercayai bulat-bulat dengan setiap apa yang tular di laman sosial.