IPOH : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa wujud usaha untuk membentuk kerajaan di Perak tanpa penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dia yang juga wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tindakan itu sama seperti situasi di Melaka apabila Perikatan Nasional (PN) menarik balik kerjasama dengan dua ADUN Bersatu.

“Apa yang difahamkan pada saya, pimpinan PN supaya apa yang berlaku di Melaka, mereka cuba hendak buat di Perak.

“Bermaksud mereka (Muafakat Nasional) ada 28 kerusi, tambah dengan satu kerusi lagi… tidak tahu siapa, itu kata mereka lah (sumber).

“Sekarang mereka ada 29 kerusi, hanya perlukan seorang tanpa melibatkan Bersatu. Itu rancangan yang mereka lakukan, sebab itu kita mempertahankan mandat rakyat, maka kita tetap dengan PH,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Hi-Tea & Beramah Mesra bersama Ahli-Ahli Alumni 4B Kawasan Tambun di Hotel Regalodge di sini pada Sabtu.

Sementara itu, ketika mengulas tentang ADUN yang lompat parti, dia menasihatkan supaya mereka tidak mengkhianati amanah rakyat.

“Kepada seluruh pimpinan wakil rakyat yang seberang (lompat) ini, ianya hanya berkuasa maksima tiga tahun, bila tiba pilihanraya akan datang… masa depan mereka sudah tiada dalam politik,” katanya.

Dia juga yakin tiada situasi lompat parti akan berlaku dalam dalangan ADUN PKR di negeri ini.

“Saya bersama ADUN Simpang Pulai (Tan Kar Hing) dan Teja (Sandrea Ng) memang selalu berhubung, kalau rakan seorang lagi tu, kurang sedikit.

“Saya yakin beliau (ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari) tetap dengan PKR,” katanya.