IPOH: Usaha menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa menjadi tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja kerajaan, tetapi juga di kalangan pembangkang.

Sehubungan itu, YB Dr Muhd Fadhil Nurudin (Amanah – Kamunting) mengucapkan syabas kepada Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu kerana memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri Perak.

“Ini adalah satu inisiatif yang amat dialu-alukan selari dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah ketika perasmian Penggal Pertama Dewan Negeri Yang ke-14 Perak Darul Ridzuan semalam,” katanya ketika membahaskan usul tahniah dan menjunjung kasih di atas titah ucapan diraja di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Menteri Besar mengetuai IBR di Dewan Bankuet di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Zainul Darus.

YB Dr Muhd Fadhil berkata, statistik SPRM dari tahun 2013 hingga 2017, terdapat peningkatan dari segi salah guna kuasa dan rasuah sebanyak 72.9 peratus.

Menurut beliau, statistic itu amat menggusarkan dan yang lebih menggusarkan ialah penjawat awam didapati telah melakukan sebanyak 47 peratus daripada jumlah itu.

“Inilah tanggungjawab yang harus kita pikul bersama supaya rasuah dan salah guna kuasa dapat dihindarkan atau dihapuskan terus,” ujarnya.