BAGAN SERAI : Sebanyak 30 jenis menu kuih dan masakan banjar berjaya dikumpulkan dalam program Dokumentasi Kuih dan Masakan Banjar anjuran sebuah syarikat swasta dengan kerjasama masyarakat Banjar Bagan Serai di pekarangan Surau Parit 3,Alor Setanggok, di sini, pada Ahad.

Menurut aktivis masyarakat Banjar Kerian, Azlan Che Lob, ia adalah program dokumentasi pertama bagi mengumpulkan sebanyak mungkin menu dan masakan masyarakat Banjar sebelum dipamerkan dalam karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Banjar pada Jun 2020.

“Tujuan utama program dokumentasi ini adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin menu masakan dan kuih banjar di seluruh Malaysia sebelum ianya dibukukan.

“Untuk program pertama ini, kita berjaya mengumpulkan 30 jenis kuih banjar serta beberapa jenis masakan dan insya Allah, untuk program seterusnya kita akan cuba mengumpulkan beberapa lagi kuih di samping turut mendokumentasi pula, petua, adat dan warisan orang Banjar,” katanya ketika program itu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Muhamad Nor Dawoo.

Azlan berkata, pihaknya bercadang untuk mencetak buku dokumentasi itu, seterusnya diedarkan ke seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya kini sedang berkerjasama dengan Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak dan Tourism Perak bagi mempromosikan aktiviti masyarakat Banjar di daerah Kerian selain turut mempromosikan buku yang bakal dilancarkan kelak.

“Setakat ini responnya nampak positif dan insya Allah hajat kami untul melancarkan buku itu akan termakbul,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 2,000 buku dijangka akan dicetak dan dana hasil jualan itu akan digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan etnik Banjar di Kerian.

Antara kuih yang berjaya dikumpulkan ketika program itu ialah adalah Papari, Kucicaq, Pupudak, Gegantas, Kalakatar, Wadai Kiping, Nasi Antah, Cangkarok, Wajik, Rimpi Pisang dan Pais Pisang di samping masakan pais anak kiwak, kerabu tungkol, ampal hayam dan gulai kawah.

Kebanyakan kuih dan masakan itu sukar ditemui dan lazimnya akan ditemui setiap kali bulan Ramadan.