TELUK INTAN – Satu usaha untuk mempromosikan bandar yang terkenal dengan Menara Condong ini sedang dilakukan bersama Tourism Perak dengan mewujudkan pakej pelancongan.

Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, terdapat pelbagai lokasi menarik yang boleh dijadikan tumpuan utama pelancong selain menara condong yang menjadikan Teluk Intan terkenal.

“Cuma sebelum ini ia kurang dipromosikan secara komprehensif dan saya berharap dengan kerjasama antara agensi kerajaan tempatan dengan Tourism Perak mewujudkan pakej pelancongan akan menarik lebih ramai pengunjung.

“Saya melihat jika hadir ke Teluk Intan pelancong lebih tertumpu kepada Menara Condong, tanpa mengetahui banyak lokasi bersejarah dan menarik seperti, tokong, kuil, pulau burung dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menurut Terence, terdapat persatuan pelancong di Teluk Intan yang giat mempromosikan pelancongan di bandar tersebut dan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan persatuan terbabit.

“Kerjasama ini termasuklah mengetengahkan bukan sahaja produk makanan siap malah juga produk yang dihasilkan dari Sungai Perak yang cukup terkenal iaitu udang galah.

“Saya dimaklumkan kualiti udang galah dari Sungai Perak di Teluk Intan adalah antara yang terbaik dan jabatan perikanan sentiasa melepaskan benih udang ke dalam Sungai Perak ini agar populasinya tidak berkurangan,” katanya.

Tambahnya, selain itu, pihaknya juga melihat Pulau Burung yang menjadi persinggahan 20,000 hingga 30,000 burung migrasi juga merupakan tarikan baharu di Teluk Intan yang boleh diketengahkan untuk tarikan pelancong.

“Sejak dua tahun lepas satu fenomena berlaku di mana burung-burung ini menetap di pulau berkenaan dan membuat sarang serta bertelur,” katanya – sinar